Tips Keselamatan Ketika Dalam Perjalanan. SHARE Kepada Orang Tersayang.


Apa pun tujuan anda berada di atas jalan raya, keselamatan merupakan satu-satunya perkara yang tidak boleh diperjudikan. Semuanya bermula dari kesedaran dan sikap setiap seorang daripada kita untuk memastikan perjalanan yang akan ditempuhi akan menjadi selamat, tidak hanya untuk diri kita sendiri malah untuk orang lain juga.
Setelah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik untuk berada di atas jalan raya, faktor yang lebih penting untuk memastikan keselamatan dalam perjalanan adalah diri sendiri. Sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa menjadi antara elemen penting yang memberi manfaat kepada semua. Elakkan daripada hanya ingin mementingkan diri sendiri sahaja. Peka dan prihatin kepada persekitaran akan membuatkan kita menjadi seorang pemandu yang lebih baik.
Ini termasuk amalan pemanduan yang berhemat. Mulakan dengan menggunakan tali pinggang keledar, bermula dengan diri anda sebagai pemandu dan seterusnya kepada semua penumpang yang turut berada di dalam kenderaan. Jadikan ini sebagai satu amalan yang semula jadi ketika menaiki kenderaan, pada bila-bila masa.
Jadilah seorang pemandu yang prihatin. Simpan nombor-nombor telefon pihak yang perlu dihubungi sekiranya anda terlibat atau sekadar terlihat situasi-situasi cemas sepanjang perjalanan. Selain nombor kecemasan pihak polis dan jabatan bomba, tidak salah sekiranya anda turut menyimpan nombor pihak penyelia lebuh raya yang dilalui.
Tidak semestinya hanya untuk kejadian-kejadian seperti kemalangan, tetapi ini sangat berguna untuk melaporkan hal-hal lain yang berkaitan; sekiranya ada laluan terhadang oleh barangan yang terjatuh, haiwan-haiwan yang dikhuatiri akan melintas dan membahayakan pengguna dan sebagainya.
Mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan juga merupakan sesuatu yang berguna. Sebagai contoh, menyediakan alat pemadam api di dalam kenderaan anda. Begitu juga dengan lampu suluh terang, alat pemantul cahaya, 'jumper cabel' atau apa saja aksesori-aksesori keselamatan lain yang mungkin menjadi sangat berguna dalam waktu-waktu kecemasan yang tak terduga.
Ketika berada di jalan raya juga, perlu diingat bukan kita sahaja yang menggunakannya dalam satu-satu masa. Beri perhatian khusus terutamanya terhadap pengguna lain, terutamanya bagi penunggang motosikal, pengguna berbasikal serta pejalan kaki. Jika anda berada di dalam kenderaan yang selesa, tidak salah untuk memberi ruang kepada mereka terlebih dahulu. Perlu diingati, jalan raya adalah untuk dikongsi dan bukan milik siapa-siapa, tidak kiralah apa jenis kenderaan anda sekalipun.

No comments

Powered by Blogger.