Di Aidilfitri, 500 anjing dan kucing menemani Mak Intan menjadi bahan bualan di laman sosial.

ALOR SETAR: Untuk kali kedua, Halijah Idris atau lebih mesra dipanggil Mak Intan, akan beraya tanpa suami tercinta.
Sebaliknya, Halijah, 68, akan menyambut Aidilfitri bertemankan 500 ekor anjing dan kucing peninggalan arwah suaminya Muhammad Azmi Ismail, atau Pak Mie, yang meninggal dunia Mac tahun lalu.
Mak Intan kini tinggal di Pak Mie Shelter, tempat penjagaan anjing dan kucing.
“Inilah peninggalan yang berharga yang saya akan jaga dan pelihara sampai akhir hayat saya. Bagi saya raya tahun ini tidak ada apa-apa persiapan. Tiada baju raya dan tiada kuih muih yang disediakan.
“Hanya menunggu kepulangan anak-anak balik beraya dan hari raya pertama juga seperti tahun sebelum ini, saya akan duduk di Pak Mie Shelter untuk jaga anjing dan kucing peliharaan peninggalan arwah Pak Mie. Bagi saya haiwan peliharaan saya amat penting kerana sudah anggap seperti anak saya,” katanya ketika dihubungi FMT.
Kisah Mak Intan dan Pak Mie dan haiwan peliharaan yang kebanyakannya diselamatkan oleh pasangan ini pernah mengamit perasaan orang ramai ketika mereka tinggal di tanah rizab kerajaan berhampiran Jalan Tanjung Bendahara.
Disebabkan pasangan itu beragama Islam, kisah mereka mengambil anjing terbiar dan merawat serta memelihara tidak terlepas daripada cemuhan.
Namun, “alah bisa, tegal biasa” menjadi pegangan Mak Intan mempertahankan Pak Mie Shelter, demi menunaikan amanat suaminya.
Walaupun sukar, Mak Intan tetap tabah menguruskan operasi rumah perlindungan haiwan itu dibantu anaknya dan sukarelawan.
Mak Intan berkata haiwan peliharaannya bukan sekadar teman selepas ketiadaan Pak Mie, tetapi banyak berjasa kepadanya.
Poppy dan Adik
Antaranya, Mak Intan sempat mengimbau kenangannya diselamatkan dua ekor anjing yang diberi nama Poppy dan Adik.
“Poppy pernah membantu Mak Intan sewaktu nyaris maut dipatuk ular senduk manakala Adik pula menyelamatkan Mak Intan ketika hampir lemas pada 2011,” katanya.
Mak Intan bersyukur setelah dua tahun peninggalan arwah Pak Mie, dia masih menerima bantuan daripada orang ramai untuk terus membela anjing dan kucing peliharaannya.
Katanya, walaupun sekadar cukup melengkapi kos penjagaan haiwan peliharaannya itu, dia tetap gembira masih ada orang yang mengambil berat terhadapnya.
“Mak Intan buat masa ini tidak bekerja dan hanya menggunakan duit sumbangan orang ramai di dalam akaun Mak Intan.
“Dalam sebulan, paling banyak adalah dalam RM4,000 dan duit itu Mak Intan guna sepenuhnya untuk memberi makanan dan ubat penjagaan anjing dan kucing Mak Intan. Tidak ada lebih cukup-cukup untuk haiwan peliharaan Mak Intan,” katanya.
Dia tidak akan menambah bilangan haiwan berikutan peningkatan kos yang semakin meningkat.
Katanya, faktor usia juga memainkan peranan.
“Buat masa ini sehari sahaja Mak Intan berbelanja RM200 untuk makanan haiwan peliharaan Mak Intan. Sumbangan yang diterima juga cukup-cukup untuk beri makanan. Jadi Mak Intan tidak mahu menambah lagi.
“Namun jika ada haiwan yang betul-betul sakit dan nak nazak, Mak Intan akan ambil dan jaga dia sampai sihat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.